Sep 14, 2025 - FASSkuad Gergasi Merah layak ke pusingan Suku Akhir Piala FA 2025/26 selepas menewaskan Malaysian University FT 9-0 dalam Pusingan 16 kedua dengan agregat 12-1 di Stadium MBPJ semalam.
Dengan dua gol di dalam tangan, Selangor FC memulakan perlawanan dengan penuh keyakinan, asakan demi asakan dilakukan. Kevin Deeromram terdahulu meletakkan Gergasi Merah di hadapan selepas menanduk masuk hantaran sepakan penjuru Faisal Halim pada minit ke-12. Kemudian, pada minit ke-21, Quentin Cheng meleret masuk gol selepas mendapat hantaran ‘cut-back’ Chirgor Moraes. Tidak cukup dengan bantuan gol, giliran Chrigor Moraes menjaringkan gol ketiga Merah Kuning pada minit ke 40+5, sebaik sahaja menerima hantaran Kevin Deeromram hantaran dari sebelah kiri padang sebelum tamat separuh masa pertama. Empat minit selepas separuh masa kedua bermula, Kevin Deeromram sekali menjaringkan gol dan kali ini daripada luar kotak selepas menerima hantaran daripada Alvin Fortes. Pada Minit ke-55, Alvin Fortes pula mencetak namanya dalam senarai penjaring gol #SFCMUN. Kemudian, Zach Clough menjaringkan gol pertamanya bersama skuad Gergasi Merah pada minit ke-72 perlawanan. Seterusnya, Chrigor Moraes melengkapkan jaringan hatrik dengan dua gol pada minit ke-76 dan minit ke-81. Jaringan terakhir perlawanan #SFCMUN telah dijaringkan oleh Zikri Khalili, pada minit ke 90+ menjadikan 9-0 sebagai kemenangan terbesar dalam sejarah Selangor sepanjang beraksi dalam saingan Piala FA.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, beliau gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemain pada malam semalam terutama sekali mentaliti tidak mengalah dan mahukan kemenangan yang mereka tunjukkan.
“Para pemain telah menunjukkan mentaliti yang membanggakan dan keazaman yang kuat untuk mendapatkan kemenangan 9-0 ini. Mereka juga jelas memahami taktikal yang dimahukan, dan itu jelas dengan apa yang mereka tunjukkan dalam padang. Selain itu, saya dapat turunkan Sikh Izhan, penjaga gol ketiga pasukan, bermakna hampir semua pemain dalam pasukan telah diberi minit permainan. Saya amat gembira dengan keputusan semalam, tetapi kita ada banyak perlawanan akan datang. Hari Isnin pasukan akan kembali berlatih untuk kekalkan mentaliti kemenangan yang sama,” jelas Kinoshi
Daripada perlawanan #SFCMUN semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
- Kemenangan 9-0 semalam merupakan kemenangan terbesar Selangor dalam 156 aksi Piala FA sejak saingan tersebut diperkenalkan pada tahun 1990. Sebelum ini, kemenangan terbesar pasukan adalah 6-0 vs HariniFT dalam Piala FA 2022.
- Chrigor Moraes, penyerang import baharu musim 2025/26 telah menjaringkan hatrik kedua beliau bersama skuad Selangor FC untuk dua perlawanan berturut-turut. Selain itu, beliau juga berjaya membuat tiga bantuan gol dalam perlawanan semalam bagi gol-gol yang dijaringkan oleh Quentin Cheng minit pada ke-21, Alvin Fortes pada minit ke-55 dan jaringan sulung Zach Clough pada minit ke-72. Setakat ini, Chrigor telah menjaringkan lapan gol dalam tujuh perlawanan.
- Kevin Deeromram juga tidak kurang hebatnya, beliau telah menjaringkan enam gol secara keseluruhan beliau juga merupakan pemain pertama yang mencetak nama dalam senarai penjaring gol skuad Merah Kuning musim ini semasa menentang DPMM FC.
- Zach Clough, antara pemain tonggak baharu Gergasi Merah, berjaya membuka akaun jaringannya pada minit ke-72 beberapa minit selepas beliau menggantikan Alvin Fortes pada minit ke-64 perlawanan.
Seterusnya Selangor FC akan membuka tirai pembukaan perlawanan kumpulan G ACL Two menentang Bangkok United FC, antara pasukan terbesar di Thailand pada 21 November 2025 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Pihak pengurusan juga ingin berterima kasih buat 2,392 penyokong yang hadir ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.
Demi kebanggaan!